25 November 2009

.:QURBAN PESONA TAQWA:.


“Qurban Pesona Taqwa”

Tema yang dipilih untuk sambutan Hari Raya Qurban 1430H di bumi Allah, Jatinangor tercinta.

Subhanallah, betapa pantas jarum jam melengkapkan pusingannya 24 jam sehari. Ramadhan pergi dengan berat hati meninggalkan kita, Syawal menjelma penuh girang, Zulkaedah berlalu laju memberi ruang pada Zulhijjah bertamu, bersimpuh penuh adab..

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan pada Allah, Rabb Yang Maha Segalanya atas nikmat kesempatan yang diberikan untuk kita menambah 'bekal' menuju akhirat kelak.

Zulhijjah, salah satu bulan haram di antara 4 bulan haram di dalam Islam (At-taubah : 36), dan bulan-bulan tersebut yang disepakati para ulama' adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Umat Islam dilarang berperang pada bulan-bulan ini kecuali mereka di ugut.

Zulhijjah yang bertamu ini, khususnya 10 hari awalnya, merupakan peluang kedua yang Allah berikan selepas Ramadhan untuk umat Islam melipatgandakan pahala amalan,keampunan dan keredhaan.(Amalan utama dilakukan seperti puasa sunat hari 'Arafah 9 zulhijjah, haji, takbir,qurban, sedekah, zikir,solat dll)

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini"
[Hadis Riwayat Bukhari]

Hari Raya 'Idul Adha adalah kemuncak bagi ibadah haji yang dilakukan oleh tetamu-tetamu Allah bagi yang mampu [semoga kita diberi peluang ke sana juga :)]. Sinonimnya juga Hari Raya Qurban di mana seluruh umat Islam yang mampu dianjurkan untuk menyembelih haiwan qurban..

“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari’atkan penyembelihan (Qurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya....” [QS. Al Hajj : 34]


Mengapa Taqwa?

Qurban, berasal dari kata ‘Qaroba’, ertinya 'mendekatkan diri'. Dalam konteks ketauhidan, tidak ada Dzat/tempat yang wajib kita mendekatkan diri, kecuali hanya kepada Allah SWT.

Haiwan yang disembelih dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Bukan diniatkan untuk dimakan, dijual atau disedekahkan, menunjuk-nunjuk, riya', sekadar rutin tahunan sesekali tidak, tetapi hanya kerana Allah semata-mata dan mengikuti sunnah Nabi SAW serta Nabi Ibrahim a.s.

Ketahuilah, yang ingin dicapai dari ibadah qurban adalah keikhlasan dan ketaqwaan, dan bukan hanya daging atau darahnya.

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi keTAQWAan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik."
[Al-Hajj : 37]

Ibadah Qurban yang disyariatkan kepada kita diambil dari sejarah qurbannya Nabi Ibrahim a.s yang diabadikan dalam surah As-Saffat. Perintah mengorbankan anak yang dicintainya, Nabi Ismail a.s yang kemudian Allah gantikan dengan seekor kibas adalah salah satu bukti keTAQWAan Nabi Ibrahim dalam menjalankan perintah Allah SWT.


"Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban),maka ia adalah dari tanda KETAQWAAN HATI" [Al-Hajj: 32]

"Qurban itu pesonanya Taqwa..:)"



Bekal Taqwa


"Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.."

"Huh..asyik-asyik taqwa..ape tu taqwa?", tanya Si tak tahu..

Jangan memandang remeh perihal taqwa. Kalau di baca dalam himpunan kalam-kalam cintaNya (Al-Quran) juga, hampir setiap halaman pasti ditemukan kalimah TAQWA.

"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah TAQWA"
[Al Baqarah : 197]

Sebaik-baik bekal untuk kerehatan yang santai di negeri abadi (akhirat) itu adalah Taqwa!
Bukan berapa banyak wang yang disimpan atau di laburkan ke arah maksiat dan perkara lagho, bukan himpunan barang kemas, batu permata, bukan berapa biji banglo dan kereta yang di pakai...bukan segala material duniawi, tetapi apa yang ada dalam hati kita sekarang..


Teori Taqwa

Taqwa itu sensitiviti..
Lahir dari kesan keimanan yang kukuh..
keimanan yang selalu dipupuk dengan taqarrub (mendekatkan) kepada Allah..

Boleh saya definisikan,

"Taqwa adalah hendaklah Allah tidak melihat kamu berada dalam larangan-laranganNya dan tidak kehilangan kamu dalam perintah-perintahNya"


Teringat dialog analogi terbaik taqwa...

Saidina Umar al-Khattab r.a bertanya kepada Ubay bin Ka'ab tentang taqwa.

"Ya Ubay, sampaikanlah kepadaku tentang taqwa", kata umar r.a.

"Wahai Amirul mukminin, pernahkah kamu berjalan di sebuah jalan yang penuh duri? ", Ubay menjawab dengan soalan.

Lalu jawab Umar r.a, "Ya,pernah...".

"Bagaimanakah kamu laluinya?", tanya Ubay.

"Aku akan sentiasa peka, bersedia (mengakat sedikit pakaianku) dan berjalan dengan penuh hati-hati agar tidak terpijak duri tersebut", jawab Umar.

Maka jawab Ubay, "Seperti itulah Taqwa ".

~~~~~~~~~~~~~

Sayyid Qutb menterjemah dialog di atas,(dalam tafsir Fi Zilalil Quran)

"Itulah Taqwa. Kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus, selalu berwaspada dan hati-hati jangan sampai terkena duri jalanan..
jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan & syahwat, kerakusan & angan-angan, kekhawatiran & keraguan, harapan segala sesuatu yang tidak patut diharapkan, serta ketakutan palsu dari sesuatu yang tidak seharusnya ditakuti..serta masih banyak duri-duri yang lainnya.."


SENSITIF itu kuncinya.

Sentiasa sensitif (peka dan sedar) untuk mencari jalan paling selamat dan baik.
Sentiasa sensitif (waspada) menjauhi jalan was-was dan keburukan.
Sentiasa sensitif (berjaga-jaga) dalam percakapan, penglihatan, pendengaran, anggota kaki dan tangan yang akan menjadi saksi segalanya.
Sensitif terhadap segala pahala dan dosa.

Itulah parameter kualiti seorang hamba -- TAQWA.

Bijak mengawal diri untuk tidak terjerumus kepada desakan keinginan diri dan hawa nafsu. Peduli kepada setiap yang menjadi cabaran perjalanannya. Semuanya dapat berlaku bila kita menempuhnya dengan conscious (sedar).


Aplikasi Taqwa

Apalagi..jadilah si sensitif yang positif~ :)

Cukuplah TAQWA sebagai pakaian terbaikmu..

Cukuplah TAQWA sebagai bekal cahaya dan petunjuk kepadamu..
disaat bekal-bekal lain sudah sirna dan segala amal tak berguna lagi..

Cahaya yang menerangi episod-episod sebuah kehidupan..yang membuatmu selalu terjaga, hati-hati dan waspada..
demi mengenal dan mentaati halal dan haram dalam Syariatullah (hukum Allah)..demi memaknai hidup dalam Sunnatullah(hukum alam)...bukan hidup sesuka hati~!

Kita musafir di alam fana'..
Pengembara ke alam baqa'..

ramai yang karam dalam pelayaran al-hayah(kehidupan)...
"...kecuali orang-orang yang bertaqwa..."

Selamat menghayati erti pengorbanan bertakhtakan taqwa.

“Sesungguhnya Kami telah memberikan nikmat yg banyak kepadamu. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah & mendekatkan diri kpd Allah).” [Al-Kautsar : 1-2]

Hidup penuh pengorbanan
Pengorbanan perlukan perjuangan
Perjuangan perlukan kekuatan
Kekuatan perlukan ketaqwaan

Tiada bahagia tanpa TAQWA~


p/s : Hanya secebis peringatan untuk diri dan semua. Bagaimana indah kata-kata yang disusun untuk melukis hakikat ini, tetap tidak mampu memberikan pemahaman sebenarnya kepada yang belum merasakannya. Sama-sama kita berusaha~!(^^,)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



**Artikel di atas ditulis khas utk majalah IMAN, In-Soft edisi Hari Raya Qurban..last minute diberitahu, moga apa yg nak disampaikan tentang Qurban pesona TAQWA, tema yg diri sendiri pilih utk 'Idul Adha kali ni, sampai kepada hati2 mereka yg membaca..tak lupa buat kalian, pembaca blog ini..:) menulis sekadar mampu.

**Lama rasanya tak mengupdate blog ni..banyak benda nak tulis, cuma masa dan kerajinan diri selalu cemburu...huhu.


**Alhamdulillah, kemuncak program 'Qurban Pesona Taqwa' bakal tiba..diserikan dgn ketibaan DS Shahidan Kasim & Dr Mohd Asri Zainal Abidin (mantan mufti Perlis) di Jatinangor ni..

  • Iftor Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Masa : Khamis (26/11/09 - Esok)
Tempat : Masjid Ibnu Sina, Unpad.

Tentatif:

5.30pm - Iftor, solat Maghrib & Isya'

7.15pm - Ceramah Qurban by Dr MAZA

**Jom esok kita puasa~ Puasa sunat Khamis & Hari Arafah..Moga Ibadah kita diterimaNya.ameen.

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Maka jawab Rasulullah, maksudnya:
“Dikifarah (diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang.”
(HR Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan baihaqi)


  • Hari Raya 'Idul Adha

Masa : Jumaat (27/11/09)
Tentatif:

6.20am - Solat Sunat Idul Adha, di Masjid As-Syifa, FK Unpad. [Imam & khatib insyaAllah Dr MAZA]

7.30am - Penyembelihan haiwan qurban, di Puri Alpina.

6.30pm - Kenduri Qurban, Puri Alpina.

**Semua muslimin/muslimat dijemput hadir & menyerikan majlis~^^


~~~~~~~~~~~~~~~~


**Di kesempatan ni..ingin saya mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha buat semua.. Ampun & maaf jua dipinta..moga Aidil Adha kali ni lebih bermakna buat kita. Salam sayang & rindu buat Abah, Ummi serta adik beradik & keluarga di Tanah air tercinta..

**Ramai benar yg sibuk sekarang ni..moga segala perancangan & pekerjaan dipermudahkan oleh Allah..exam pun dah tak lama...14 Dis ni insyaAllah. Moga diri tak terleka & tak mensia2kan tiap detik waktu yang tersisa. Ya Allah, pimpinlah hambaMu menuju kejayaan dunia & akhirat. ameen~:)




"RedhaMu Rabbi Kemuncak Impianku~"
Al-Faqirah iLa Allah
.:'abid sakina:.

5 .:KoMeN:.:

mujahidin88 said...

mantap pengisian... Moga setiap tingkahlaku kita diawasi dengan sifat keTAQWAan kepada ALLAH...

AMEEN..

*F.Y* said...

Salam~
Lama dah tak melawat blog aiman...aka BAROKAH..hehe~

Bestnye baca post ni..tak sabar nak baca IMAN edisi Qurban!!^_~

Sememangnya dalam hidup ni banyak duri, hanya orang yang berhati2 yakni bertaqwa akan terlepas daripada kecederaan~ Moga kita termasuk dalam golongan itu, amiiiin...

jazakillah khair~ :)

*F.Y* said...
This comment has been removed by a blog administrator.
nurul88 said...

to mujahidin88:

ameen..smoga kita tergolong dlm golongan yg plg dicintai Allah...al-muttaqin..:)

nurul88 said...

to F.Y, farhana:

w'salam..

hehe..barokah ye.ameen..xpe.aiman pun jarang2 dh skrg nk update.huhu..

best ke?alhamdulillah..moga bmanfaat utk kita semua..bila nak kuar insoft bulan ni pn xtaula..rya haji pn dh lepas..oh UPM IMAN~huhu

ameen atas doanya..moga kita tgolong dlm glgn muttaqin..ameen


wa iyyaki ya ukhti~:)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...