20 May 2008

.: HaBiT 6: SINERGI UTK 1+1=3 MALAH LEBIH:.


RAKAMAN MP3 KULIAH HABIT #6 DI AL-NIDAA’ PADA 28 NOV. 2007

“Baik, sekarang cuba awak jelaskan, kenapa awak kata saya telah mengabaikan rumahtangga kita?”, tegas seorang suami, yang juga CEO sebuah syarikat besar, kepada isterinya.

“Penjelasan yang macam mana? Puas sudah saya jelaskan sebelum ini”, jawab isterinya.

“Penjelasanlah! Facts and figures… di mana kurangnya, apa kurangnya…”, muka si suami sedikit kemerahan.

“Tak adalah facts and figures tu. Tetapi ia suatu perasaan yang kuat. Saya rasa awak semakin longgar dari rumahtangga kita”, kata isterinya.

“Tengok tu Encik Covey, tak faham saya dibuatnya. Asyik-asyik itulah yang diulangnya sejak sekian lama. Perasaan, perasaan, perasaan!”, rungut si suami.

Stephen Covey tersenyum melihat gelagat mereka berdua. Hilang sedikit tumpuannya kepada makan malam mereka. Si suami berfikir dengan otak kiri, manakala si isteri membalas dengan sentuhan otak kanan.

“Saya tahu awak mungkin tak suka saya jemput Encik Covey makan malam bersama dengan kita malam ini. Tetapi, saya nak beliau bantu selesaikan apa masalah kita. Awak kata kita bermasalah tetapi awak tidak dapat memberikan penjelasan mengenainya”, si suami menyambung leteran. Buruk juga apabila orang lelaki berleter.

Si isteri tunduk. Garpunya menguis-nguis kobis bunga di dalam pinggan.

“Baik, sekarang ni, awak puas hati tak dengan rumah kita?”, tanya si suami. Cuba memecahkan kebuntuan diskusi mereka.

Isteri mengangguk lemah.

“Cukup tak makan pakai kita selama ini?”, soal si suami.

“Lebih dari cukup…”, jawab isterinya lemah.

“Habis, di manakah yang tidak kenanya?”, si suami sudah naik angin sedikit.

“Bukan soal makan pakai. Tetapi bagaimana perasaan awak terhadap saya, terhadap anak-anak dan rumahtangga kita?”, si isteri mengangkat muka. Sedikit memberontak.

“Saya sayangkan awak. Begitu juga anak-anak kita”, kata si suami.

“Tetapi saya tidak dapat merasainya!”, tegas si isteri.

“Tengok, Mr. Covey. Tak habis-habis dia akan mengulang perkara yang dia sendiri tidak dapat jelaskan”, si suami bernada mengalah. Bosan barangkali.

Kisah ini dicatat oleh Covey di dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective Families. Tetapi ia bukan kisah Covey semata. Ia kisah kehidupan kita semua.

“Tadi awak kata awak ada anak. Berapa orang?”, tanya Covey kepada pasangan itu.

“Dua orang!”, mereka berdua menjawab serentak.

“Oh dua orang. Bagaimana keluarga kamu bertukar dari kamu berdua kepada empat orang sekarang ini?”, tanya Covey dengan nada provokasinya.

“Apa maksud awak?”, tanya CEO itu, kebingungan.

“Maksud saya, macam mana kamu berdua dapat anak? Dua orang pula tu. Satu campur satu jadi empat!”, soal Covey.

Merah padam muka mereka berdua.

“Faham-faham sahajalah bagaimana kami dapat anak”, jawab si suami. Terasa sedikit aib pada soalan itu.

“Ya, kamu dan isteri bekerjasama untuk mendapat anak. Ketika kamu bekerjasama itu, kamu mahukan isteri kamu serupa dengan kamu, atau kamu menghargai dirinya sebab dia ‘berbeza’ dari diri kamu?”, tanya Covey lagi.

“Wah… peliknya. Tentulah saya gembira kerana isteri saya adalah isteri saya”, kata lelaki itu. Nafasnya kencang.

“Bagaimana kalau isteri kamu serupa dengan kamu? Bolehkah kamu gembira dan mampukah kamu berdua hari ini memiliki dua anak hasil persamaan itu?”, Covey terus menghentak pemikiran pasangan suami isteri itu.

Apa yang cuba Covey sampaikan, sudah difahami oleh mereka berdua. Mereka terlupa bahawa perbezaan antara suami dan isteri, bukan punca masalah, tetapi suatu nikmat dan peluang pengkayaan rumahtangga mereka.

Kerana suami itu seorang lelaki, dan isterinya pula seorang perempuan, mereka bahagia, dan natijah kebahagiaan mereka, rumahtangga yang bermula dengan dua insan bercinta itu, sudah bertambah menjadi empat dengan sepasang anak yang menyerikan kehidupan. Rumahtangga itu bukan sahaja memuaskan naluri mereka sebagai manusia, tetapi juga mencambahkan kebaikan, menambah keturunan, dan manfaatnya tidak berhenti-henti, tidak putus.

Itulah sinergi.

Satu tambah satu bukan dua, malah tiga, mungkin empat dan lebih lagi.

e13.jpg
SINERGI

Sinergi adalah kemuncak kepada tabiat-tabiat yang telah dibincangkan sebelum ini. Ia adalah Sunnatullah yang telah menyuburkan kehidupan manusia, lantas seluruh kehendak Syariat mendorong insan untuk saling bersinergi.

Lihat sahaja sepinggan nasi berlauk ikan.

Kita membayarnya dengan harga RM5 tetapi hakikatnya, sebelum nasi dan ikan itu sedia untuk dihidangkan, berapa ratus malah mungkin ribu manusia yang terbabit untuk memastikannya? Nelayan yang turun ke laut, peraih dan pemborong, pemandu lori, pembuat lori, pembuat garam dan gula, penanam bawang, pekerja ladang kelapa sawit, pesawah dan senarai itu terus menerus memanjang tanpa henti. RM5 bukan harga sebenar pada usaha yang telah dilakukan untuk membolehkan kita menikmati sepinggan nasi berlauk ikan.

Itulah hasil sinergi manusia.

Malah kerana sinergi itu juga, kita hanya perlu membayar RM5 untuknya.

Cuba patah kembali kepada zaman sebelum manusia bersinergi begini. Mudahkah untuk kita menikmati sepinggan nasi berlauk ikan, jika segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa ikhtiar orang lain?

Oleh kerana itu, salah satu teori yang wujud di bidang kajian ketamadunan, bahawa sejarah manusia bermula apabila mereka mula menghasilkan pemerosesan makanan bersama.

Itu soal manusia.

Lihat pula pada kehidupan di alam ini?

sc0029.jpg
Kerbau besar dan gagah, tetapi sering kegatalan kerana badannya berkutu. Burung gembala kerbau pula tidak pandai memburu makanan, sebaliknya dijadikan Allah gemar pada bersarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan hidangan kutu kerbau. Mereka bersinergi untuk saling memberikan keselesaan hidup dan manfaat kepada manusia yang menggunakan kerbau dalam kehidupan.

Malah burung yang kecil itu, dinamakan sebagai gembala kerbau, kerana mungkin peranan sinerginya telah mengekalkan ketenteraman kerbau dari terus gelisah dan turun minyak akibat kegatalan kutu. Burung itulah gembalanya. Semua orang tahu, apa kesannya jika kerbau itu turun minyak!

Seluruh alam bersinergi…

Seperti juga tubuh badan. Apalah sangat tangan, jika tangan hanya tangan. Tetapi kerjasama tangan kanan dan kiri, bersama kepala dan kaki, juga dengan anggota tubuh yang lain, ia mampu melakukan kerja-kerja yang hebat. KLCC itu juga hasil sinergi dua tangan seorang pekerja dengan tangan-tangan pekerja yang lain.

Seluruh alam bersinergi untuk keperluan masing-masing. Hanya manusia sahaja yang diberi pilihan, sama ada mahu menjadi sebahagian daripada sistem ini, atau menjadi makhluk asing yang mengasingkan diri dari Sunnatullah?

Jika dalam soal KEPERLUAN hidup, alam ini disusun oleh Allah agar mereka bersinergi, apatah lagi dalam soal TUJUAN hidup yang lebih besar dan utama?

BERSUNGGUH MEMIKIRKAN SINERGI

Betapa pentingnya sinergi dalam kehidupan, saya jadi tidak segan dan tidak pernah berasa susut keislaman jika saya mencadangkan bakal pengantin membaca buku Men Are From Mars, Women Are From Venus karangan John Gray. Ia mengajar seorang lelaki dan seorang perempuan untuk memahami bahawa lelaki itu sangat berbeza dari perempuan, dan perbezaan itu bukan masalah tetapi rahmat dan anugerah. Perkahwinan adalah untuk menghasilkan kebaikan daripada perbezaan itu.

Perbezaan fizikal.

Perbezaan cara berfikir.

Perbezaan kekuatan rasional dan emosi.

Perbezaan selera dan kecenderungan.

Berbeza belaka…

Untuk itu, syarat pertama SINERGI adalah MERAI DAN MEMANFAATKAN PERBEZAAN.

hujurat13.JPG"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "[Al-Hujurat : 13]

Kejadian manusia itu asasnya pada kepelbagaian dan perbezaan. Lelaki dan perempuan tidak sama, suku bangsa dan puak tidak serupa. Mereka itu memiliki pelbagai perbezaan, pada rupa, bahasa, kecenderungan, selera, cara berfikir, dan budaya yang terbit daripadanya.

Terpulang kepada kita, sama ada mahu melihat perbezaan itu sebagai punca masalah, lantas masalah kita tidak pernah habis. Atau kita melihat perbezaan itu sebagai kunci taaruf… kenal mengenal dan mengambil manfaat daripadanya.

almaidah48.JPG
"Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan . Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." [Al-Maidah : 48]

Sinergi bukan bermaksud berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan. Ia bukan soal bertolak ansur di mana hari ini saya ikut jalan awak, dan esok awak pulalah ikut jalan saya.

Tetapi sinergi itu bermaksud saya datang dengan pandangan saya dan awak datang dengan pandangan awak, tetapi kita berdua terbuka bukan hanya kepada memilih antara dua pandangan berbeza yang kita ada, sebaliknya bersedia untuk mencari sesuatu yang lebih baik dari cara saya dan cara awak.

Kompromi akan menyebabkan awak buat cara awak, saya buat cara saya. Ia mendamaikan, tetapi perbezaan yang terbiar tanpa titik temu akan segera kembali kepada pusingan yang sama… bertemu pada sebuah pertembungan, buat kali yang entah ke berapa.

Kompromi bagus sebagai penyelesaian sementara tetapi ia bukan jalan terdekat kepada TAQWA. Ia tiada sinergi. Perbezaan yang tidak menerbitkan kebaikan, sebaliknya masing-masing membawa haluan sendiri. Setiap puak, gembira dengan apa yang ada pada diri mereka (Al-Rum : 32)

SINERGI RUMAHTANGGA

Seorang lelaki dibesarkan oleh ibu bapanya dengan cara diplomasi dan berlembut. Jarang benar mengangkat suara, apatah lagi tangan naik ke muka. Didikan tersebut berjaya membentuk lelaki itu menjadi insan cemerlang menuju dewasa.

Seorang perempuan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan cara tegas dan garang. Jarang benar pandangan anak ditanya, sebaliknya melanggar peraturan rumah akan mengundang hukuman yang berbekas dan lama meninggalkan kesan. Cara itu berjaya membentuk perempuan itu menjadi insan cemerlang menuju dewasa.

0415.JPG

Lelaki dan perempuan ini bertemu, dan mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri. Hasil sinergi, mereka berjaya menjadikan setiap perbezaan antara mereka sebagai suatu surprise dan adventure dalam rumahtangga sepasang pengantin baru. Mereka terus meniti hari bahagia hingga rumah berseri dengan kurniaan cahaya mata.

Selepas cinta bersulam tanggungjawab, perbezaan mula menjadi ujian.

Suami percaya bahawa cara ibu bapanya yang diplomatik itu cara terbaik. Isteri pula percaya anak-anak mereka harus dibesarkan dengan ketegasan dan kegarangan kerana hasil disiplin sebegitulah dia mampu menjadi manusia. Lantas suami isteri bertelagah, manakah cara terbaik untuk membesarkan anak-anak.

Hal ini tidak boleh diselesaikan dengan kompromi.

Bab marah-marah bagi pada ibu.

Bab pujuk-pujuk bagi pada ayah.

Di mata ibu ayah, mereka melihat pendekatan itu seimbang.

Di mana anak-anak, mereka melihat ayah lemah dalam berprinsip tetapi kaya dengan kasih sayang, manakala ibu mengambil berat tentang disiplin tetapi tidak peduli kepada perasaan anak-anak.

Mungkin kompromi seperti ini menjadi punca mengapa ramai remaja yang saya temui membuat keputusan bahawa ibu lebih penyayang berbanding ayah, atau sebaliknya.

Akan tetapi SINERGI mengajak bapa mengimbas kembali bahawa diplomasi yang mewarnai kehidupannya sebelum dewasa, banyak kemanisan dan kebaikan. Tetapi ia mungkin menjadikan dirinya atau ada adik beradiknya yang kurang berdisiplin dalam kehidupan, atau lemah dalam membuat keputusan. Diplomasi berlebihan itu ada beberapa kesan sampingan.

Manakala si ibu pula atas tuntutan sinergi, muhasabah kembali dan melihat bahawa cara dirinya dibesarkan dengan ketegasan dan garang ibu bapa, memang telah berjaya menyuntik kecemerlangan akademik dan kerjaya, tetapi mereka tidak lupa kepada betapa peritnya hari-hari yang mereka tempuhi dalam ketakutan dan sempitnya jiwa kerana ibu bapa tidak membuka pintu kepada mereka untuk bersuara dan memberikan pandangan. Ketegasan berlebihan itu ada beberapa kesan sampingan.

Lantas mereka sedar, bukanlah diplomasi dan ketegasan itu saling bertentangan lantas perlu dipilih satu antara duanya. Sebaliknya pendekatan yang berjaya menggabungkan dua elemen itulah yang terbaik. Bapa yang penyayang juga ada ketegasan dan prinsip yang menjadikan dirinya disegani dan dihormati anak-anak. Ibu yang tegas dan garang juga ada sentuhan emosi dan diplomasi untuk menjadikan kasih sayangnya difahami oleh si anak. Maka bapa harus belajar teknik tegas dan marah. Ibu pula mesti belajar cara membelai dan mendengar suara anak-anak.

Sinergi bukan kompromi, ia bukan My Way atau Your Way, tetapi High Way! Cara terbaik dari dua perbezaan yang bertentangan.

SINERGI DI PESADA POLITIK

Tiada keraguan bahawa sinergi di dalam pembentukan hidup peribadi dan keluarga itu penting. Sinergi itu Sunnatullah pada cara manusia disusun oleh Penciptanya.

Maka kesan sinergi bukan hanya berperanan pada skala kecil di dalam sebuah rumahtangga, malah apa sahaja yang membabitkan manusia, sinergi penting untuk memperkembangkan kehidupan ke arah yang lebih baik.

ba.gif

Pengalaman kita pada akhir kurun ke-20, melihat sesuatu yang mustahil telah berjaya disinergikan. Era reformasi Malaysia telah menemukan PAS dan DAP di meja rundingan. Siapa yang tidak tahu, kenyataan popular “Cross My Dead Body” Karpal Singh apabila isu Negara Islam dibangkitkan oleh PAS. Maka kedua-dua parti pembangkang utama Malaysia ini amat berbeza dan saling bertentangan. PAS mahukan Negara Islam, DAP mahukan Malaysian Malaysia.

Tetapi suasana politik negara ketika itu mendesak semua pihak untuk menyemak mindset. Sama ada kita melihat perbezaan itu sebagai titik permusuhan, atau peluang untuk saling melengkapi dan bekerjasama.

Analisa dibuat, mengapa PAS mahukan Negara Islam. Intipati kepada cita-cita PAS ini ialah, Negara Islam adalah alat untuk manusia beroleh pembelaan dan keadilan. PAS mahukan keadilan ditegakkan, dengan kepercayaan bahawa caranya ialah melalui sebuah Negara Islam.

DAP pula mahukan sebuah negara sekular yang berjiwa Malaysian Malaysia. Ia adalah gambaran DAP kepada sebuah negara yang diyakini sebagai alat yang mampu memberikan keadilan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. DAP mahukan keadilan ditegakkan, dengan kepercayaan bahawa caranya ialah melalui sebuah Negara Sekular yang berjiwa Malaysian Malaysia.

Titik temunya adalah pada komitmen masing-masing kepada soal keadilan. Manakala kesemuanya sedang berdepan dengan isu yang sama iaitu pencabulan keadilan, dan penindasan ke atas massa.

Maka perbezaan di antara PAS dan DAP tidak menjadi halangan untuk mereka bekerjasama dalam soal yang disepakati iaitu menentang kezaliman dan memperjuangkan keadilan.

Mereka duduk semeja bukan dengan My Way, atau Your Way, tetapi mencari High Way.

Tentu sahaja dalam soal ini, sinergi boleh dilihat sebagai suatu pendekatan yang berisiko tinggi. Keterbukaan kedua belah pihak memang boleh diterjemahkan secara dangkal sebagai penggadaian prinsip atas nama politik. Tetapi prinsip dan strategi adalah dua perkara yang harus dinilai dengan teliti.

Bukan Nabi SAW tidak pernah bekerjasama dengan non Muslim. Bukannya Baginda SAW tidak pernah bersetuju dengan ‘kekalahan superficial‘ di pihak Muslim, demi kemenangan besar jangka panjang dalam Perjanjian Hudhaibiyyah. Semua itu bukan untuk diilmiahkan sebagai kenangan silam, tetapi harus lahir dalam bentuk panduan bersiasah dalam dunia kontemporari yang serba mencabar.

Kerana itu, Stephen Covey sendiri menegaskan bahawa Sinergi mesti berasaskan kepada tiga Habit pertama, kerana ia menentukan nilai yang dipegang, destinasi akhir yang ingin dicapai, dan prioriti yang mahu diperjuangkan.

Sinergi bukan keterbukaan yang mutlak tetapi ada prinsip-prinsip dan nilai yang memimpin.

PAS tidak secara semberono datang ke meja rundingan. Nasihat-nasihat ulama tempatan, dan antarabangsa telah dirujuk malah percubaan PAS pada pilihanraya 1999 itu diterima sebagai suatu pengalaman berharga untuk dianalisa dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di seluruh dunia.

PAS dan DAP bukan sekadar bekerjasama hasil kompromi, malah mereka berjaya mengatur strategi dengan bersinergi. Bersama-sama dengan Parti Keadilan dan PRM ketika itu mereka membentuk Barisan Alternatif dengan meletakkan satu lawan satu di setiap kawasan pilihanraya. Hasilnya menjadi fenomena bersejarah dalam catatan politik tanah air.

Tentu sahaja selepas kemenangan itu, soal perbezaan antara PAS dan DAP muncul kembali, dan pandangan saya terhadap gagasan Negara Islam yang PAS perjuangkan, telah pun saya perkatakan di dalam ulasan-ulasan saya tentang kemenangan AKP di Turki. Harapnya diskusi mengenai hal ini, tidaklah bercampur aduk dengan persoalan sinergi yang menjadi fokus kali ini.

Tetapi pengalaman politik 1999 memperlihatkan apakah signifikannya SINERGI dalam pembangunan tamadun manusia.

PERBEZAAN ANTARA KITA: MASALAH ATAU PELUANG

Sudah sekian lama, mereka yang mahu kepada Islam di negara kita sudah berpecah kepada begitu banyak kumpulan. Ada kumpulan politik, ada NGO Kebajikan, ada NGO Pendidikan, ada gerakan dakwah yang berpengkalan di masjid-masjid, dan senarai ini berterusan.

Rasyid Ridha sudah lama menyeru dengan lisan Hasan al-Banna, bahawa kumpulan-kumpulan sebegini harus berlapang dada untuk bertolak ansur dalam perkara yang mereka saling bertentangan, dan bekerjasama dalam perkara yang disepakati. Tetapi ia masih slogan yang enak disebut, namun jauh dari realiti.

3009.JPG

Ia berbalik kepada mindset.

Sudah lama PAS menganggap ta’addud jamaah sebagai suatu jenayah kecelaan kepada dakwah dan ummah.

Sudah lama juga JIM dan cabang-cabangnya menganggap keputusan mereka untuk wujud dan berkembang adalah kerana ketidakterbukaan PAS dalam mengakui kelemahan-kelemahannya yang banyak di kaca mata mereka.

Manakala Tabligh melihat perbalahan ini sebagai sesuatu yang jauh dari fikir iman dan amal, lalu mereka menjauhkan diri dari polisi sosial dan memfokuskan kerja kepada agenda sendiri. Masing-masing buat hal masing-masing.

Senarai ini berterusan dari satu kelompok kepada kelompok yang lain. Terkini, golongan Salafi muda pula membentuk entiti baru dengan elitisma Sunnah sebagai identiti kumpulan mereka.

Selagi mana kita semua melihat perbezaan ini sebagai titik penting untuk mengekalkan survival masing-masing, selagi itu kita 1000 batu jauh dari sinergi dan mencari jalan keluar.

Alangkan berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan pun masih jauh dari realiti, apatah lagi untuk menjadikan perbezaan sebagai peluang dan bahan sinergi untuk tidak lagi taaasub menerima My Way dan taasub menolak Your Way, sebaliknya berusaha mencari High Way.

3187.jpg

Tidakkah ada kemungkinan untuk berbilang jemaah dan berbilang pendekatan ini tidak lagi dibaca sebagai masalah. Sebaliknya dilihat sebagai pengkhususan kerja oleh kumpulan-kumpulan Islam yang memang tiada siapa pun mampu untuk buat semua benda?

Politik penting, tetapi dengan pembabitan dalam politik, menyebabkan banyak ruang yang ahli politik dan partinya tidak boleh tembusi atau berperanan.

Pendidikan itu penting, tetapi beban dan tugasan dalam memperbaiki usaha mendidik masyarakat, memerlukan pergerakan ini bisa menembusi sempadan fahaman politik, agar sesiapa sahaja boleh datang mengambil kebaikan, lantas gerakan pendidikan harus mengambil sikap bebas dari memihak kepada mana-mana aliran politik? Namun bukan dengan memusuhi politik.

Tegasnya, kepelbagaian kumpulan Islam, wajar dilihat sebagai suatu perbezaan. Tetapi perbezaan itu adalah pengkhususan dan fokus, bukan semestinya persaingan atau pertembungan.

Namun, Stephen Covey juga ada mengingatkan, bahawa sinergi perlu kepada penghayatan Habit #4 iaitu Think Win-Win, dan Habit #5 iaitu Seek First to Understand, Then to be Understood.

Inilah cabaran kumpulan Islam.

Pemikiran perlu dipositifkan, dan seterusnya bagaimanakah kesanggupan kita untuk memahami orang lain, sebelum meletakkan demand untuk difahami?

Seruan saya kepada komitmen kita semua agar menghayati Habit #5 iaitu belajar untuk memahami sebelum mengharapkan diri difahami, itu pun sudah cukup untuk meributkan kehidupan saya, hingga Habit #5 itu menjadi terlalu pahit untuk ditulis buat masa ini.[Tapi ana post habit 5 dlu ye..ade kat bawah ni..nak ikut urutan skit..huhu]

Akal, Hati dan Nafsu… masih kunci kepada segalanya…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur



****Erm..kena post all da habits dari saifulislam.com memandangkan PERMAI'08 dah nak dekat..23hb ni..huhu..x dapat pegi..apekan daya..tlg post je la kat blog ni...semoga bermanfaat. Tinggal habit 7 je xde lagi..dinanti....=) EXAM MODE. Dah2..nak study lak....saje rehat..takut jadi 'tak betul' plak dok push otak ni...hehe~Doakan ana ye....najah dgn cemerlang dlm final ni..26hb Mei 2008......


0 .:KoMeN:.:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...