13 April 2008

.:HaBiT 2: BeGiN WiTh The EnD Of MinD:.


“Saya nak supaya rumah yang dibina ini ada tiga bilik. Dapurnya biar di depan ya”, kata Jamal.
“Encik Jamal dah siapkan pelan rumah tersebut?”, tanya Lim, wakil syarikat pembinaan yang bakal membina rumah impian Jamal.
“Eh, awak dah bina begitu banyak rumah, masih perlukan pelan lagikah?”, Jamal kehairanan.
Encik Lim menggaru kepala. Lebih hairan.

Tidak mungkin sebuah rumah dapat dibina, tanpa terlebih dahulu siap pelannya. Lakarannya harus JELAS, ukurannya mesti TEPAT. Jelas dan tepat, mesti ada pada sebuah pelan membina rumah. Bukan sahaja pada rumah yang hendak dibina, malah anak-anak kita yang bermain jigsaw puzzle pun tahu betapa pentingnya untuk mereka melihat terlebih dahulu, apakah gambar yang bakal kelihatan melalui cantuman kepingan jigsaw puzzle tersebut. Gambar KLCCkah, atau Jambatan Pulau Pinang, atau tiga anak kucing di dalam bakul?

Ada gambaran, baru langkah dimulakan. Inilah yang dimaksudkan dengan Begin with the End in Mind. Memulakan langkah dengan gambaran akhir di dalam fikiran.

Tabiat kedua yang diajarkan oleh Steven Covey ini sangat bermanfaat untuk kehidupan duniawi kita. Buat sesuatu, biar jelas dan tepat. Sebelum terlibat di dalam satu hubungan, bayangkan kesudahan yang diharapkan. Jika mahu melaksanakan satu projek, apakah gambaran akhir kepada kesudahan projek itu. Maka tabiat melakukan sesuatu berteraskan visi dan misi yang jelas lagi tepat, menjadikan kehidupan seseorang itu terancang.
Terarah.
Hidup tanpa arah, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Hal ini adalah tabiat kedua yang mesti ada untuk seseorang itu cemerlang dan berkesan dalam hidupnya. Buat sesuatu, biar jelas matlamatnya.

CITA-CITA

”Kamu bercita-cita nak jadi apa bila dewasa nanti?”, saya bertanya kepada salah seorang peserta kursus motivasi. Baru tingkatan empat.
”Saya nak jadi doktor”, jawabnya penuh yakin. ”Bagus. Kenapa nak jadi doktor?”, saya cuba menguji adik yang seorang ini.

”Saya suka menolong orang. Gembira melihat orang gembira”, katanya. ”Apa yang kamu mesti lakukan untuk memastikan kamu boleh menjadi doktor?”, saya bertanya lagi.
”Oh, kena straight A’s dalam subjek teras Sains. Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan…”, jawabnya. “Lagi?”, saya terus bertanya.
“Ko-kurikulum kena cemerlang. Kepimpinan mesti bagus”, sambung pelajar pintar tersebut.
”Itu sahaja? Ada apa-apa lagi yang tertinggal?”, saya menyambung soalan.
”Itu sahaja rasanya. Kenapa ustaz?”, pelajar tersebut mula rasa kurang selesa.
”Tadi kamu kata kamu suka menolong orang lain. Semua persediaan yang kamu sebutkan tadi, adalah untuk kamu menolong orang lain. Tetapi kamu tidak boleh menolong orang lain sebelum kamu menolong diri kamu sendiri!”, saya berkongsi pandangan.
”Maksud ustaz?”, pelajar tersebut semakin bingung. ”Bagaimana dengan kemahiran memasak? Mengemas rumah? Melipat kain? Melayan kanak-kanak?”, saya melontar idea.
”Apa kena mengenanya semua itu dengan menjadi seorang doktor?”, tanya pelajar tersebut.
”Satu hari nanti, kamu tentu akan berkeluarga. Berkahwin dan beranak pinak. Kalau kamu hanya cekap menolong orang lain sebagai seorang doktor, tetapi gagal menolong diri sendiri sebagai seorang isteri dan ibu, akhirnya kehidupan kamu akan tunggang langgang. Orang lain Baiti Jannati. Kamu nanti Baiti Naari! Naudhubillah”, saya membuat kesimpulan.

”Betul ke ustaz?”, tanya pelajar tersebut.
”Ya, semasa isteri saya menghadiri temuduga Master untuk menjadi doktor pakar, soalan yang ditanya oleh penemuduga, semuanya tentang rumahtangga. Bila rancang nak ada anak ketiga, suami dah pandai masak atau tidak dan sebagainya”, saya tersenyum.
Kisah di atas berlaku beberapa kali semasa saya mengendalikan kursus motivasi untuk pelajar sekolah. Mereka mesti dibantu untuk melihat kehidupan seorang doktor secara menyeluruh. Jangan hanya lihat pada kod putih dan stethescopenya sahaja.

Hari ini mudah benar anak dara pergi ke universiti dan seterusnya menjadi seorang doktor, jurutera dan lain-lain, dalam keadaan satu apa pun skill rumahtangga tidak diketahuinya. Semuanya diuruskan oleh bibik dan supir. Yang lelaki usah kiralah…

Para pelajar yang kaya A hari ini, mesti dibantu untuk melihat keseluruhan hidupnya di masa hadapan. Jangan hanya bijak akademik tetapi tidak bersedia menempuh realiti hidup. Untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan, bukan hanya akademik yang jadi bekalan. Sikap, kemahiran hidup dan kematangan dalam membuat keputusan harian, adalah sesuatu yang sering hilang prioriti. Oleh itu, gambaran akhir terhadap sesuatu itu mesti diambil kira.

BEGIN WITH THE END IN MIND DALAM BERPERSATUAN

“Tahun ini kita nak buat Tamrin, lima ke atau enam kali?”, tanya si A.
”Saya rasa kita kena buat lima sahaja sebab kebanyakan kita akan menghadapi peperiksaan tahun akhir”, jawab si B.

”Tapi saya rasa, kalau kita buat lima, nanti tak habis pula silibus Tamrin itu. Kita bukannya ada peluang untuk berjumpa lagi selepas peperiksaan”, balas si A.
”Lima pun boleh, sebab kita boleh compress silibus agar muat dengan lima kali Tamrin itu”, hujah si B.
”Tapi kita biasa buat enam…”, keluh si A.

Lima, enam, lima enam, matlamat yang ingin dicapai dari Tamrin itu sendiri belum diputuskan lagi.

Inilah kesilapan yang sering berlaku kepada kita semasa merancang program. Kita ada bajet, kita sibukkan diri dengan hal logistik dan teknikal, tetapi kita lupa kepada perkara yang paling penting. Apa yang mahu dicapai dari program? Atau sekadar mahu ada program?

Kalau analisa kita memperlihatkan ahli organisasi agak renggang dan lemah ukhuwwah, maka program yang melibatkan kerja berpasukan, di samping sesi-sesi yang menyentuh emosi mesti diutamakan. Kurangkan ceramah.

Kalau semuanya bagus, tetapi tahun ini sasaran kita adalah melahirkan ahli yang mempunyai fikrah yang jelas terhadap 5 isu utama masa kini, maka kita tumpukan kepada sesi diskusi ilmiah dan kurangkanlah aktiviti berkayak, bermain bola tampar dan jaring, dan sebagainya.

Maka dalam gerak kerja berpersatuan, Begin with the End in Mind menuntut kita agar memikirkan matlamat sebelum merancang program. Bukannya merancang untuk mengadakan program, kemudian baru difikirkan matlamatnya.

Tak ada matlamat, tak payah buang masa berprogram. Dermakan sahaja bajet anda ke Palestin!

END OF THE END

Tetapi, soal Begin with the End in Mind bukan hanya soal dunia. Akhir yang paling akhir, jangan dilupa. Bagaimana soal hujung hidup di alam dunia? Bagaimana dengan hidup di sana selepas mati di sini? Maka hal ini juga membabitkan soal iman.
Sama ada kita rancang atau tidak, sedar atau alpa, peduli atau membodohkan diri, kita tetap menuju akhir yang sama. Kita akan mati. Selepas mati, perjalanan kita akan terus berlangsung hingga ke detik muhasabah di hadapan Allah. Jika kita bayangkan akhir perjalanan itu adalah di Syurga, maka siapakah bakal kita temui di Syurga?

Pasti yang pertamanya adalah Penghulu Syurga iaitu Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Siapa di sisi Baginda? Tentu sahaja nama sehebat Abu Bakar, Umar, Khadijah, Aishah dan sebagainya. Ya, kita sudah diberi gambaran bahawa Syurga itu tempat orang hebat. Bukan hebat harta atau ilmu. Tetapi hebat jiwa, hebat kehidupan, hebat perjuangan. Hidup mereka semasa di dunia adalah hidup memberi, barulah layak di Syurga hidup menerima.

Maka ketika di dunia, semasa merancang untuk mengasihi seseorang, merancang untuk membenci dan memusuhi seseorang, apakah sudah dimasukkan gambaran Syurga dan Neraka dalam perancangan itu? Ketika malah berjuang, ketika banyak masa terbuang, ketika pelbagai alasan diberi dan ketika pelbagai dosa membelenggu diri, sudah dikirakah kesan itu semua pada akhir perjalanan ini?

Sudahkah dianalisa, apakah perbuatan kita itu nanti bakal diproses menjadi pahala lantas membuka peluang untuk ke Syurga, atau dosa yang menjurus ke lembah neraka? Nak buat apa sahaja, fikir dulu kesan akibatnya. Jangan sekali sekali. Jadikan ia tabiat yang sebati pada jiwa.

Renunglah pada kesudahan semua. Kesudahan seorang alim, kesudahan seorang jahil, kesudahan yang miskin, kesudahan yang kaya, semuanya berkesudahan dengan kesudahan yang sama.

Mati,

Syurga,

Neraka.

Mulakanlah langkah di kehidupan ini, dengan merenung hujung sebuah perjalanan. Begin with the End in Mind!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

0 .:KoMeN:.:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...