17 April 2008

.:HaBiT3 : PuT 1st ThiNgS FiRsT:.




“Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan” - Riwayat al-Bukhari

“Nak bawa apa ni ya?”, keluh si isteri. Dua beg besar sudah sendat berisi.
“Cukuplah tu. Kita bukannya nak pindah ke Dubai tu. Singgah sekejap sahaja. Masa saya mesyuarat nanti, awak pergilah beli baju baru”, marah si suami, melihat isterinya mengemas pakaian.
“Yang ini, nak bawakah?”, tanya si isteri sambil menunjukkan periuk nasik elektrik kecilnya.

“Lesung batu tak nak bawa? Alang-alang alat pembakar roti pun boleh juga awak angkut sekali!”, sindir si suami.
Tentunya amat membebankan, suatu perjalanan yang diberatkan oleh benda-benda yang kita tidak perlu. Bukanlah langsung tidak perlu, tetapi kalau tiada pun tidak menjejaskan apa-apa.
Kalau setakat mengidamkan nasi, cari sahaja kedai Asia yang berlambak di Dubai. Mengapa perlu diangkut periuk nasi untuk perjalanan 4 hari?

Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang ia tidak perlukan. Perjalanannya perlu ringan dan cepat. Apatah lagi semua yang ditinggalkan itu, ada kedapatan di destinasi yang hendak dituju.


"Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan"

Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepadanya. Maka di dalam kembara ini, apakah yang anda pilih untuk dimasukkan di dalam beg anda?

PUT FIRST THINGS FIRST

Put First Things First adalah tabiat ketiga bagi manusia yang cemerlang. Iaitu manusia yang kalau berlari di trek perlumbaan, dia tiba segera dan sejahtera.

Bahasa Melayunya adalah Keutamaan.

Bahasa Arabnya adalah Aulawiyyat.

Dalam kehidupan ini, Put First Things First sangat bergantung kepada sistem nilai kita. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan.

Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz di dalam sebuah bekas.

Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar… malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Jika bekas itu adalah masa yang kita ada seharian, maka kita isikan ia dengan pasir, batu kecil dan akhirnya batu besar… malang sekali batu besar itu tidak semua dapat dimasukkan. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Bagaimana jika batu besar itu ialah melawat ibu di kampung yang tidak sihat? Bagaimana jika batu besar itu ialah Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah anak di sekolah? Bagaimana jika batu besar itu Solat Jemaah di Masjid, atau Usrah bulanan, atau ceramah agama, atau pemeriksaan kesihatan?

Batu besar mana yang bakal kita korbankan, jika tidak semua batu besar mampu masuk ke bekas masa yang ada?
Batu besar, batu kecil, pasir dan air!

Ya, jika bekas air dan masa diisi dengan Put First Things First, semua batu besar dapat dimasukkan. Pasir dan batu kecil mampu masuk dan mencelah. Malah air dapat juga diisi untuk memampatkannya.

Hidup kita dan masa yang ada, adalah seumpama bekas air. Mengisinya harus dengan batu besar sebelum batu kecil.

Apakah yang membesar dan mengecilkan batu itu?
Itulah NILAI.

Jika kita menganggap usrah dan solat berjemaah itu sebagai kurang bernilai, maka ia akan diwakilkan oleh batu kecil ke bekas masa.

Apa yang besar? Rancangan kegemaran di televisyen? Mencari aksesori kereta di setiap hujung minggu? Mengejar harga runtuh di pusat membeli belah?

Apa yang bernilai dalam hidup anda ini?

Penentuan nilai kita, adalah pada cara kita melihat kehidupan. World view…

WORLD VIEW

Tabiat kedua sudah mengajar kita supaya Begin with the End in Mind. Apakah hujung perjalanan hidup di dunia ini? Bagaimana melihat kehidupan dari pandangan Pencipta kehidupan?

Akhirat mengajar kita membuat penilaian terhadap setiap satu kebajikan dan kebaikan di dunia. Akhirat juga memberi amaran kepada kita terhadap setiap satu kejahatan dan dosa kedurhakaan.

Kerana itulah, perkara-perkara yang susah dan rumit dalam hidup ini, Nabi SAW kaitkan ia dengan Allah dan Akhirat.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, muliakan tetamu.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berbaiklah sesama jiran.

Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja.

Penat bekerja, terperangkap di dalam lautan kereta, kepala pening, anak-anak mohon masa bersama. Tiba-tiba pintu diketuk. Tetamu tiba mohon dilayan.

Bukan mudah…

Bukan berfaedah… jika nilai melayan tetamu hanya pada ukuran dunia yang tidak berhajatkannya.

Namun tetamu datang dengan jaminan Allah. Bahawa kehadiran mereka membawa kebaikan dan keberkatan. Tanpa iman kepada Allah dan Akhirat, tiada upaya untuk memaniskan wajah, mengajak masuk tetamu yang "dihantar Allah".

Jiran pun sama juga.

Mahu berkata-kata. Kata sahajalah apa yang ingin dikata. Tidak kering air liur, tidak bengkak gusi menanggung.

Tetapi nilai kata-kata besar bagi sebuah Akhirat. Ada kata jadi pahala, banyak kata jadi dosa. Yakin pada balasan Akhirat, menjadikan seorang warga dunia berhati-hati memilih kata. Nyatakan yang baik-baik, atau diam sahaja.

Diam mulut dari bercakap, diam tangan dari menyiar idea. Berbual, pilihlah bualan yang baik-baik. Membuka blog, pilihlah idea yang baik-baik, atau diam sahaja.

Semua ini bahasa sistem nilai manusia yang sudah sebati dalam dirinya tabiat Begin with the End in Mind.

KELESUAN MAJLIS ILMU

Ramai sahaja yang mengeluh kerana majlis ilmu kurang mendapat sambutan. Majlis lagu lebih makmur dan menerima kebanjiran serta tumpuan.

Ada dua kemungkinan yang menjadikannya begitu. Sama ada sistem nilai manusia sudah rosak, atau majlis ilmu itu sendiri tidak punya nilai.

Manusia hari ini dipujuk agar melupakan Akhirat. Pujukan paling berkesan ialah pada menambah perisa kehidupan melalui HIBURAN.

Hidup kita hari ini menjadi “hiburan centric”. Semua mesti ada unsur hiburan. Dari ringtone telefon hingga ke majlis agama, mesti ada unsur hiburan. Jika yang ditawar hanya makanan minda, maka bersedialah untuk ramai AJK dari peserta

Tetapi jangan semata-mata dipersalahkan hadirin. Tidak semestinya majlis ilmu mempunyai nilai setinggi nilai ilmu. Ilmu apa yang dibentangkan? Bagaimana ia dibentangkan?

Majlis ilmu juga perlu Put First Things First. Ketika orang ramai keliru dan sesat akibat sekularisma, jangan dikeluh jika tiada sambutan kepada majlis ilmu yang menentang Muktazilah.

Dari satu sudut yang lain, ketika orang ramai terkapai-kapai mencari erti hubungan dirinya dengan Islam, jangan dikeluh jika mereka tidak terpanggil ke majlis yang menggesa mereka mengorbankan diri demi Islam. First Things First…

Usrah yang asyik mengulang tajuk yang sama, majlis yang asyik berbalah topik yang sama, seminar yang mencari kesudahan kepada polemik yang memang tiada kesudahan, mungkin bersambut sekali dua, tetapi hilang sambutan apabila hilang keutamaan.

Maka pengendali majlis ilmu perlu musahabah dua dimensi. Dimensi sistem nilai hadirin dan yang keduanya dimensi nilai majlis ilmu itu sendiri. Jika semua produk di pasaran bermati-matian mengeluarkan belanja untuk pengiklanan yang mempengaruhi sistem nilai pembeli, berapa susah payah daie mengemas dan memperelokkan pakej Islam yang ditawarkannya?

Hambar, bosan, ceramah sekadar melepaskan batuk di tangga … macam tak ada harga!
Benda yang bernilai tinggi, juga akan berharga tinggi. Subjek yang tinggi nilai dan tinggi harga, akan menerima pengorbanan yang tinggi.

Apa batu besar dalam hidup anda? Atau anda selesa hidup dipenuhi pasir, habuk dan debu?

"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan."
[Al-Furqan 25: 23]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

0 .:KoMeN:.:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...